Monday 12 December 2011

Jabir Ibn Hayyan


Potret "Geber" Eropah abad ke 15, Codici Ashburnhamiani 1166, Biblioteca Medicea Laurenziana, Florence

Nama sebenarnya adalah Abu Musa Jabir bin Hayyan Al-Kufi As-Sufi. Dilahirkan pada tahun 721 Masihi dan meninggal dunia ketika berumur 94 tahun. Di Barat, beliau dikenali sebagai Geber. Beliau terkenal sebagai bapa ilmu kimia dan merupakan orang pertama yang berkata mengenai ilmu kimia, membina makmal sains kimia dan menjalankan eksperimen secara sistematik.

Beliau mempunyai makmal peribadi di rumahnya untuk melakukan eksperimen. Kettani (1976) [dalam Wan Fuad, 1990] melaporkan bahawa Jabir pernah berkata tentang kaedah sistematik eksperimen ilmu kimianya, "Aku ketahui melalui tanganku dan kemudian akalku dan aku selidiki hingga betul kemudian aku akan cari kesilapan daripadanya." Jabir percaya bahawa ilmu falsafah dapat meningkatkan daya pemikiran seseorang. Lalu, beliau telah memilih Socrates sebagai idolanya. Beliau menganggap Socrates adalah bapa ahli falsafah dan pemimpin ahli falsafah keseluruhannya.

Penguasaan beliau terhadap bahasa Yunani memberikan kelebihan kepada beliau untuk menterjemah buku-buku sarjana Yunani seperti astronomi, ilmu ukur, ilmu logik ke bahasa Arab. Prinsip hidup beliau yang menekankan ketekunan yang luar biasa dalam melakukan sesuatu serta banyak menulis bidang-bidang ilmu yang diketahuinya menyebabkan beliau terkenal bukan sahaja di dunia Islam malah di Barat.

Beliau menimba ilmu melalui pembacaan dan berguru dengan Khalid bin Yazid bin Mu'awiyah dan Imam Ja'far Ash-Shadiq. Banyak hasil karya beliau telah diterjemah ke dalam bahasa Latin dan bahasa Inggeris oleh sarjana Barat bagi memperkayakan khazanah ilmu di Barat.

Beliau telah menulis 300 buku falsafah, 2300 artikel mengenai peralatan perang, 500 buku kedoktoran, buku serangga 300 halaman, 500 buah buku yang menolak beberapa teori falsafah, buku mengenai zuhud dan nasihat, buku mengenai mantera dan buku sains menurut Aristotle. Antara sumbangan beliau dalam sains ialah menemui bahan alkali, mempopularkan kaedah penyulingan, penurasan, penyejatan, penghabluran, penurunan dan pengkalsinan.

Rujukan :
Dr. Yazid Abdul Manap (2011). "Menerokai Kegemilangan Saintis Islam". Shah Alam, Selangor : Grup Buku Karangkraf. Sdn. Bhd.

No comments:

Post a Comment