Thursday 22 December 2011

Al-Kindi


Nama sebenarnya ialah Abu Yusuf Ya'aqub bin Ishak bin Al-Sabah dan merupakan tokoh cendiakawan abad ke-8 dan 9. Di Barat beliau dikenali dengan nama Al-Kindus. Dilahirkan di Kufah, Iraq pada tahun 185 Hijrah bersamaan 809 masihi. Ketika itu Iraq merupakan pusat ilmu pengetahuan yang ulung. Bapanya seorang gabenor di Kufah. Sejak kecil minatnya terhadap ilmu pengetahuan sangat tinggi dan merupakan seorang yang tekun belajar. Beliau telah mempelajari ilmu membaca, menulis, ilmu nahu, menghafal al-Quran, hadis, syair, falsafah dan kedoktoran.

Beliau seorang yang gigih menuntut ilmu-ilmu semasa. Al-Kindi berpendapat, matematik perlu dipelajari terlebih dahulu sebelum mempelajari ilmu-ilmu lain. Jadi sebab itulah beliau terkenal sebagai seorang ahli sains falsafah Islam yang agung. Karier beliau sebagai doktor perubatan bermula ketika beliau berusia 19 tahun. Buku-buku dalam bahasa Yunani, Parsi, Syria dan Mesir telah diterjemahkan oleh beliau ke dalam bahasa Arab.

'Rasa'il Al-Kindi' merupakan karya Al-Kindi yang menerangkan daya graviti dan hukum pengembangan jisim. Daya graviti yang ditemui oleh Newton pada abad ke 17 melalui peristiwa buah epal yang jatuh ke bumi telah dinyatakan oleh Al-Kindi sejak abad ke-9 lagi. Peristiwa pasang surut air laut juga telah ditemui oleh Al-Kindi lebih awal daripada saintis Eropah, Grosseteste ( abad ke-13 ), Hasil penulisan beliau lebih daripada 270 buah mencakupi bidang astronomi, meteorologi, perubatan. matematik, logik, geometri, pembedahan, kimia, falak, metafizik, geografi, muzik, pemakanan, tauhid, geologi dan sebagainya.

Rujukan:
Dr. Yazid Abdul Manap (2011). "Menerokai Kegemilangan Saintis Islam".  Shah Alam, Selangor : Grup Buku Karangkraf Sdn. Bhd.

Monday 12 December 2011

Al-Khawarizmi



Nama sebenarnya ialah Muhammad bin Musa al-Khawarizmi. Di Barat, beliau dikenali sebagai Algoarismi, Algorism, Al-Karismi, Augrim dan Aurym. Beliau dilahirkan di Khwarizm, Uzbekistan pada tahun 780 Masihi. Beliau mahir dalam bidang matematik, astronomi, aljabar, falsafah, logik, aritmetik, geometri, muzik, kejuruteraan, sejarah Islam dan kimia. Al-Khawarizmi telah menghabiskan lebih daripada separuh usianya di kota Baghdad iaitu pusat perkembangan ilmu pengetahuan dan ekonomi.

Kota Baghdad ketika itu digambarkan sebagai tempat pengumpulan pendapatan negara di mana peluang pekerjaan yang terbuka luas dan keamanan yang tiada tolok bandingnya. Khalifah Abbasiyyah ketika itu ialah Ma'mun yang sangat cintakan ilmu pengetahuan. Al- Ma'mun memperolehi koleksi buku dengan memaksa musuh-musuhnya menandatangani surat perjanjian yang menyatakan kesediaan memberi buku-buku Yunani yang sangat bernilai. Al-Khawarizmi pernah menjadi utusan khalifah ke Afganistan dan India untuk membeli atau menyalin teks-teks asli buku bertulisan tangan.

Al-Khawarizmi juga merupakan perintis aljabar dan hisab. Oleh itu beliau digelar bapa algebra. Banyak konsep matematik yang beliau cetuskan, menjadi begitu popular sehingga digunakan pada zaman sekarang. Beliau memperkenalkan sistem nombor, angka sifar, penyelesaian persamaan trigonometri ( kosinus, sinus dan tangen ), teorem segitiga sama dan segitiga sama kaki, formula ( luas segitiga, segi empat selari dan bulatan dalam geometri ).

Rujukan :
Dr. Yazid Abdul Manap (2011). "Menerokai Kegemilangan Saintis Islam".  Shah Alam, Selangor : Grup Buku Karangkraf Sdn. Bhd.

Jabir Ibn Hayyan


Potret "Geber" Eropah abad ke 15, Codici Ashburnhamiani 1166, Biblioteca Medicea Laurenziana, Florence

Nama sebenarnya adalah Abu Musa Jabir bin Hayyan Al-Kufi As-Sufi. Dilahirkan pada tahun 721 Masihi dan meninggal dunia ketika berumur 94 tahun. Di Barat, beliau dikenali sebagai Geber. Beliau terkenal sebagai bapa ilmu kimia dan merupakan orang pertama yang berkata mengenai ilmu kimia, membina makmal sains kimia dan menjalankan eksperimen secara sistematik.

Beliau mempunyai makmal peribadi di rumahnya untuk melakukan eksperimen. Kettani (1976) [dalam Wan Fuad, 1990] melaporkan bahawa Jabir pernah berkata tentang kaedah sistematik eksperimen ilmu kimianya, "Aku ketahui melalui tanganku dan kemudian akalku dan aku selidiki hingga betul kemudian aku akan cari kesilapan daripadanya." Jabir percaya bahawa ilmu falsafah dapat meningkatkan daya pemikiran seseorang. Lalu, beliau telah memilih Socrates sebagai idolanya. Beliau menganggap Socrates adalah bapa ahli falsafah dan pemimpin ahli falsafah keseluruhannya.

Penguasaan beliau terhadap bahasa Yunani memberikan kelebihan kepada beliau untuk menterjemah buku-buku sarjana Yunani seperti astronomi, ilmu ukur, ilmu logik ke bahasa Arab. Prinsip hidup beliau yang menekankan ketekunan yang luar biasa dalam melakukan sesuatu serta banyak menulis bidang-bidang ilmu yang diketahuinya menyebabkan beliau terkenal bukan sahaja di dunia Islam malah di Barat.

Beliau menimba ilmu melalui pembacaan dan berguru dengan Khalid bin Yazid bin Mu'awiyah dan Imam Ja'far Ash-Shadiq. Banyak hasil karya beliau telah diterjemah ke dalam bahasa Latin dan bahasa Inggeris oleh sarjana Barat bagi memperkayakan khazanah ilmu di Barat.

Beliau telah menulis 300 buku falsafah, 2300 artikel mengenai peralatan perang, 500 buku kedoktoran, buku serangga 300 halaman, 500 buah buku yang menolak beberapa teori falsafah, buku mengenai zuhud dan nasihat, buku mengenai mantera dan buku sains menurut Aristotle. Antara sumbangan beliau dalam sains ialah menemui bahan alkali, mempopularkan kaedah penyulingan, penurasan, penyejatan, penghabluran, penurunan dan pengkalsinan.

Rujukan :
Dr. Yazid Abdul Manap (2011). "Menerokai Kegemilangan Saintis Islam". Shah Alam, Selangor : Grup Buku Karangkraf. Sdn. Bhd.