Saturday 1 October 2011

Apa itu ' Sejarah" ?

Sejarah bermaksud menyiasat. Lebih tepat lagi ia adalah ilmu yang diperolehi melalui kaedah penyiasatan iaitu dengan wujudnya penemuan, pengumpulan, pengurusan, dan persembahan maklumat terhadap peristiwa silam atau lampau. Ia juga bermaksud tempoh masa yang lalu selepas catatan penulisan telah dicipta. Ilmuwan yang menulis mengenai sejarah dipanggil sejarawan. Ia juga adalah satu medan penyelidikan yang menggunakan suatu naratif atau pengisahan untuk memeriksa dan menganalisa turutan peristiwa, dan kadangkala ia cuba untuk menyiasat secara objektif corak-corak sebab dan akibat yang menilai peristiwa-peristiwa. Peristiwa lampau sebelum rekod penulisan dianggap sebagai prasejarah. [1]

Mohd Yusuf Ibrahim (1986), menterjemahkan perkataan sejarah (History) yang kita gunakan pada masa kini berpunca daripada perkataan Arab iaitu Syajaratun yang bermaksud Pohon. Dari sudut lain pula, istilah history merupakan terjemahan dari perkataan Yunani yakni Histories yang membawa makna satu penyelidikan ataupun pengkajian.

Mengikut pandangan "Bapa Sejarah" Herodotus, Sejarah ialah satu kajian untuk  menceritakan satu kitaran jatuh bangunnya seseorang tokoh, masyarakat dan peradaban. Mengikut definisi yang diberikan oleh Aristotle, bahawa Sejarah merupakan satu sistem yang mengira kejadian semulajadi dan tersusun dalam bentuk kronologi. Pada masa yang sama, menurut beliau juga Sejarah adalah peristiwa-peristiwa masa lalu yang mempunyai catatan, rekod-rekod atau bukti-bukti yang kukuh ( R. Suntralingam, 1985).

            Menurut R. G. Collingwood (terjemahan Muhd. Yusuf Ibrahim), sejarah ialah sejenis bentuk penyelidikan atau suatu penyiasatan tentang perkara-perkara yang telah dilakukan oleh manusia pada masa lampau. Manakala Shefer pula berpendapat bahawa Sejarah adalah peristiwa yang telah lepas dan benar-benar berlaku. Sementara itu, Drs. Sidi Gazalba (1966), cuba menggambarkan sejarah sebagai masa lampau manusia dan persekitarannya  yang disusun secara ilmiah dan lengkap meliputi urutan fakta masa tersebut dengan  tafsiran dan penjelasan yang memberi pengertian dan kefahaman tentang apa yang berlaku.

Sebagai usaha susulan dalam memahami sejarah, Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka telah memberikan Sejarah sebagai asal-usul, keturunan, salasilah, peristiwa yang benar-benar berlaku pada waktu yang lampau, kisah, riwayat, tambo, tawarikh dan kajian atau pengetahuan mengenai peristiwa yang telah berlaku.

            Sejarah dalam erti kata lain digunakan untuk mengetahui masa lampau berdasarkan fakta-fakta dan bukti-bukti yang sahih bagi membolehkan manusia memperkayakan pengetahuan supaya waktu sekarang dan akan datang menjadi lebih cerah. Dengan itu akan timbul sikap waspada (awareness) dalam diri semua kelompok masyarakat kerana melalui pembelajaran Sejarah, ia dapat membentuk sikap tersebut terhadap permasalahan yang dihadapi agar peristiwa-peristiwa yang berlaku pada masa lampau dapat dijadikan pengajaran yang berguna. Pengertian Sejarah boleh dilihat dari tiga dimensi iaitu epistomologi (kata akar), metodologi (kaedah sesuatu sejarah itu dipaparkan) dan filsafat atau pemikiran peristiwa lalu  yang dianalisa secara teliti untuk menentukan sama ada ia benar atau tidak ( Muhd.Yusof Ibrahim, 1997).


Peta Nusantara


Lukisan Prasejarah

Kajian Hidupan Prasejarah

Rujukan:

a. Muhd. Yusof Ibrahim (1986), Pengertian Sejarah, Beberapa Perbahasan Mengenai Teori dan Kaedah, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, hlm. 6.

b. R. Suntralingam (1985), Pengenalan Kepada Sejarah, Merican and Sons., Sdn. Bhd., Kuala Lumpur, hlm. 58.

c. R.G. Collingwood (terjemahan Muhd. Yusuf Ibrahim), Idea Sejarah, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, hlm. 2.

d. Shafer R.G. Jones, A Guide To Historical Method, Illineis, hlm. 2.

e. Drs. Sidi Gazalba, 1966, Pengantar Sejarah Sebagai Ilmu, Jakarta, hlm. 11.

f. Tengku Iskandar, Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1996, hlm. 1040.

g. Collingwood R.G. The Idea Of History, Oxford University Press, 1966, hlm. 39.

h. Muhd. Yusof Ibrahim, Pengertian Sejarah Beberapa Perbahasan Mengenai Teori dan Kaedah, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, hlm. 17.

i. Muhd. Yusof Ibrahim, Ilmu Sejarah, Falsafah, Pengertian dan Kaedah, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1997, hlm. 41.

j. Muhd. Yusuf Ibrahim dan Mahayuddin Haji Yahya, Sejarahwan dan Pensejarahan,  Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 285.